KUALA LUMPUR – Taktik sebilangan pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup membayar sewa RM500 hingga RM800 setiap orang untuk menetap di sebuah penthouse mewah sebuah kondominium di Jalan Munshi Abdullah, di sini terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen (JIM) semalam.
Dalam serbuan pada pukul 1 pagi itu mendapati, rata-rata warga asing yang ditahan mengakui bahawa kediaman mewah tersebut diibaratkan ‘kubu kebal’ mereka apabila akses ke bangunan tersebut yang agak ketat.
Wartawan Kosmo! yang menyertai serbuan turut mendapati bangunan kondominium yang mempunyai 37 dan 42 tingkat itu agak ekslusif dengan berlatarbelakangkan permandangan Menara Kuala Lumpur.
Ketika pihak JIM menyerbu penthouse atau duplex di aras 37 itu menempatkan sekurang-kurangnya lapan orang dalam setiap rumah.
Hasil pemeriksaan di dalam premis tersebut mendapati, ia turut menjadi tempat barangan milik majikan selain disertakan dengan pendingin hawa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang mengesyaki penghuni di banggunan tersebut tidak memiliki pas perjalanan yang sah.
“Lokasi serbuan agak mencabar kerana berada di pusat bandar dan struktur bangunan memerlukan akses untuk masuk seperti lif.
“Terdapat dua blok bangunan kondominium yang mempunyai 42 dan 37 tingkat masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan tersebut.
Mengulas mengenai rumah sewa mewah yang dihuni PATI tersebut, Ruslin berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan terperinci termasuk pemilik premis dan pengurusan bangunan berkenaan.
“Ada kes yang dikesan mereka tinggal di unit duplex penthouse, mereka mempunyai kemampuan yang agak besar untuk tinggal di sana, kita akan buat pemeriksaan (pemilik premis) dengan lebih terperinci.
“Majoriti penghuni merupakan warga asing yang mendiami di kedua-dua blok itu, satu unit rumah kami anggarkan lapan orang penghuninya,” katanya.
Beliau berkata, dalam pemeriksaan tersebut, seramai 136 warga asing berusia lingkungan 20 hingga 70 tahun ditahan terdiri daripada 33 warga Bangladesh, India (45), Indonesia (12), Nepal (4), Pakistan (41) dan Thailand (1).
Ujar beliau, serbuan membabitkan 338 anggota Imigresen Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak serta Kuala Lumpur telah memeriksa seramai 3,016 warga asing.
Katanya, mereka melakukan kesalahan menetap lebih masa, selain tiada dokumen pengenalan diri.
“Mereka disiasat mengikut Akta Imigresen Akta lmigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor,” katanya.
Sementara itu, Ruslin berkata, seramai 19,574 orang ditahan daripada 80,065 warga asing yang diperiksa di seluruh negara sejak Januari sehingga 18 Oktober lalu atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.
“Tangkapan tertinggi melibatkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Filipina, serta 4,492 pelbagai warga negara lain. Pada masa yang sama seramai 245 majikan turut ditahan sepanjang tempoh itu yang mana 234 adalah warga tempatan,” katanya.
Tambahnya, tangkapan itu hasil 7,169 serbuan yang dilakukan di seluruh negara membabitkan kesalahan Akta Imigresen Akta lmigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. -KOSMO! ONLINE