fbpx

Muslimat Pas: Taibah kerap berbual tentang kematian, pesan anak imamkan solat jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Noor Hassan (kiri) memerhatikan Imaduddin menyiram air mawar di pusara isterinya, Allahyarham Taibah di Tanah Perkuburan Islam Teluk Wang, Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI – Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 390 Lebuh Raya Utara-Selatan di Behrang, Perak pada semalam sering bercakap tentang kematian sebelum menghadiri Muktamar Pas di Shah Alam, Selangor pada Rabu lalu.

Malah, ibu kepada lapan anak itu turut meminta salah seorang daripada empat anak lelakinya mengimamkan solat jenazahnya jika dia meninggal dunia dalam masa terdekat.

Menurut suami arwah, Md. Noor Hassan, 61, isterinya itu kerap berbual dengannya berkaitan kematian, dosa pahala selain menasihatinya jangan sesekali meninggalkan solat sejak seminggu lalu.

“Saya pada mulanya menganggap percakapannya itu hanya biasa memandangkan dia merupakan salah seorang ahli yang menguruskan jenazah di daerah ini selama ini.

“Terkejut saya apabila menerima panggilan telefon memaklumkan tentang kemalangan menimpa isteri kira-kira pukul 3 petang semalam,” katanya di sini hari ini.

Ahli keluarga mengusung jenazah Allahyarham Taibah selepas disembahyangkan di Masjid Al-Salam, Teluk Wang di Sungai Petani, hari ini.

Md. Noor yang merupakan pemilik kedai percetakan di Taman Pekan Baru, di sini berkata, dia juga berasa tidak sedap hati, gelisah dan berdebar serta tidak boleh tidur seperti biasa selepas pulang menunaikan solat Jumaat pada semalam.

Sementara itu, anak keenam pasangan itu, Imaduddin Md. Noor, 24, berkata, dia bersyukur kerana dapat menunaikan amanat ibunya yang mahukan salah seorang anak lelaki menjadi imam solat jenazahnya.

Kata Imaduddin, dia yang menghantar ibunya ke Stesen Bas Sungai Petani untuk menaiki bas bersama rombongan ke Muktamar Pas di Shah Alam Rabu lalu.

“Sewaktu dalam perjalanan ibu juga sering bercakap berkaitan kematian dan mati syahid yang melibatkan pejuang Palestin,” katanya.

Terdahulu jenazah arwah yang tiba di Masjid As-Salam, Teluk Wang, di sini pada pukul 9 pagi tadi diimamkan oleh Imadduddin sebelum dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang di sini kemudiannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI