fbpx

Muslimat Pas: Setengah jam tunggu rakan, rupa-rupanya dirempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasnah.

TANJUNG MALIM – “Saya tidak sedap hati bila hampir setengah jam mereka tidak muncul, tapi semuanya terjawab apabila diberitahu mereka kemalangan,” kata Hasnah Nayan, 61.

Hasnah merupakan rakan kepada tiga ahli Dewan Muslimat Pas Sungai Petani yang meninggal dunia dalam nahas di Kilometer 390, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat susur keluar Plaza Tol Behrang di sini, semalam.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah, berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta Mitsubishi Triton yang terbabas ke longkang di tepi kiri lebuh raya.

Katanya, dia dan empat rakan lain yang menaiki kereta Toyota Fortuner telah berhenti di laluan kecemasan di mana Fatihah Nabilah Bukri, 23, segera menghubungi pihak PLUS untuk bantuan.

“Fatihah bersama Najihah dan Taibah telah turun dari kereta untuk melihat keadaan mangsa. Saya bersama seorang lagi rakan tunggu di dalam kereta kerana kurang sihat.

“Kami tunggu mereka hampir setengah jam, tetapi tidak juga muncul-muncul sedangkan ambulans sudah pun sampai. Disebabkan tidak sedap hati, saya ajak rakan turun untuk melihat mereka.

“Ketika itulah seorang petugas ambulans datang bertanya dan memaklumkan ketiga-tiga rakan kami telah dirempuh kereta,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini semalam.

Kejadian sekitar pukul 2.18 petang itu mengorbankan Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, bersama Fatihah Nabilah yang juga Ketua Ameerah Pas Sungai Petani serta Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.

Taibah dan Fatihah maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala Nurul Najihah pula disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River.

Kemalangan berlaku ketika ketiga-tiga mereka bersama dua yang lain dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas menghadiri Muktamar Pas di Shah Alam, Selangor.

Menurut Hasnah, dia dan Noorsimah Saleh, 54, tidak langsung menyedari kejadian itu berikutan keadaan cuaca hujan lebat selain kereta yang diparkir jauh daripada lokasi kemalangan.

Katanya, dia sempat melihat Fatihah dan Taibah terbaring di jalan dalam keadaan tidak bernyawa manakala Nurul Najihah yang cedera dihantar ke hospital menaiki ambulans.

“Kami terkedu dan terperanjat, tidak sangka langsung perkara ini akan berlaku. Sebelum kejadian, kami semua ceria dan sempat singgah solat zohor di Hentian Sebelah Behrang.

“Roti dan air yang dibeli pun belum sempat dijamah sebab kami berhentikan kereta di lokasi kejadian untuk membantu mangsa kemalangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI