TANJUNG MALIM – Rasa tidak sedap hati seorang ibu menerima panggilan telefon bertalu-talu, rupa-rupanya membawa perkhabaran memilukan mengenai anak gadisnya.
Fatihah Nabilah Bukri, 23, yang juga Ketua Ameerah Pas Sungai Petani itu maut dalam nahas jalan raya sekitar pukul 2.18 petang di Kilometer 390, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, semalam.
Turut terkorban, Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Penolong Setiausaha Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.
Menurut ibu Fatihah, Jamaliah Jaafar, 52, hatinya terdetik ada sesuatu yang tidak kena selepas menerima lima panggilan telefon ketika sedang menunaikan solat zohor.
Katanya, dia segera menghubungi semula pemanggil yang juga anak saudaranya sebelum diberitahu bahawa anak sulungnya itu terlibat dalam kemalangan.
“Mereka minta saya hubungi rakan yang bersama dengan Fatihah (untuk tahu cerita sebenar), saya terkejut apabila diberitahu bahawa anak saya maut dalam kemalangan.
“Ketika itu, saya dan suami sedang bersiap untuk pulang ke kampung. Sebaik sahaja tahu mengenai kejadian itu, kami segera ke sini (Hospital Slim River),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini semalam.
Menurut Jamaliah, kali terakhir dia bertemu anaknya yang juga guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) itu pada Selasa lalu sebelum wanita itu bertolak ke Shah Alam, Selangor pada keesokan hari bagi menghadiri Muktamar Pas.
Katanya, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya bersikap ceria dan ramah seperti biasa.
“Malam tadi, dia ada buat ‘video call’, dia nampak ceria dan banyak ketawa. Rasa tidak sangka langsung yang hari ini dia telah tiada. Mungkin Allah mahu beri kenangan itu kepada kami.
“Fatihah juga anak yang sangat baik, dia tidak pernah kedekut dengan adik-adik. Apabila mendapat gaji, dia akan belanja adik-adiknya dan beri kepada saya. Sumbangan dan komitmennya kepada keluarga sangat besar.
“Dia juga seorang yang suka membantu orang. Dia tidak boleh melihat sesiapa dalam kesusahan, pasti cepat sahaja dia tawarkan diri untuk membantu,” katanya. – KOSMO! ONLINE