TANJUNG MALIM – Seorang suami tidak menyangka permintaan isterinya untuk dikebumikan di kampung halaman menjadi petanda wanita kesayangannya itu akan pergi untuk selama-lamanya.
Faizal Jailani, 42, suami kepada perwakilan Muslimat Pas, Nurul Najihah Amzi, 27, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 390, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat susur keluar Plaza Tol Behrang di sini, semalam.
Turut terkorban, Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabilah Bukri, 23.
Menurut Faizal, dia tidak menganggap permintaan isterinya itu sebagai pelik walaupun hasrat sama telah diulang beberapa kali sejak tiga bulan lalu.
“Setiap bulan pasti dia akan ingatkan saya, sekiranya dia sudah tiada, tolong kebumikan jenazahnya di Alor Setar, dekat dengan rumah ibu dan bapanya di Seri Derga.
“Saya tidak anggap ia benda pelik pun sebaliknya fikirkan itu hanya gurauan, tapi dalam tempoh tiga bulan ini, dia sentiasa pesan perkara sama,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini semalam.
Faizal yang juga Setiausaha Pas Sungai Petani berkata, dia reda kehilangan isteri tercinta meskipun ia berlaku pada tarikh hari lahirnya semalam.
Katanya, isterinya itu sempat memberi ucapan selamat hari lahir menerusi kiriman video dan merancang untuk membuat sambutan hari lahir untuknya.
“Setiap tahun, Najihah tidak pernah gagal untuk memberi ucapan hari lahir, pasti ada sahaja kejutan yang dia mahu buat. Walaupun ada kalanya sambutan yang dibuat ringkas, bagi saya ia sangat memberi makna.
“Kami juga baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan yang keenam pada 2 Oktober lalu. Tidak sangka ia merupakan sambutan terakhir kami bersama,” ujarnya.
Faizal memberitahu, dia dan isterinya hadir ke Muktamar Pas menaiki kereta, namun wanita itu pulang lebih awal kerana dia perlu menghadiri persidangan sehingga Ahad ini.
Katanya, kali terakhir dia bertemu wanita itu pagi semalam di mana isterinya sempat salam dan mencium tangannya sebelum mereka masuk ke dalam dewan.
Tambahnya, jenazah Nurul Najihah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Irfan, Derga pagi ini. – KOSMO! ONLINE