KUALA Lumpur City berpeluang meneruskan ‘kisah dongeng’ dalam memburu pentas final Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun meskipun berdepan halangan besar menentang Terengganu FC pada separuh akhir pertama malam ini.
Perhitungan dengan Terengganu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu akan memberi kesempatan buat KL City menikmati satu lagi perlawanan akhir selepas kejayaan bermain sebanyak tiga final dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.
Bagaimanapun, skuad Warga Kota berdepan cabaran getir apabila kehilangan khidmat ketua pasukannya, Paulo Josue, namun pengendalinya, Nenad Bacina sudah memiliki tempoh kira-kira tiga minggu untuk merangka Pelan B.
“Kita akan gunakan perlawanan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebagai persiapan untuk menentang Terengganu kerana selepas aksi ini kita tidak ada lagi perlawanan kompetitif. Langkah tidak gunakan Josue (lawan KDA FC) juga adalah sebahagian daripada perancangan kita.
“Memang Josue mampu merubah permainan tetapi kita tidak boleh gunakan khidmatnya untuk perlawanan separuh akhir pertama,” kata Bacina.
Selepas cipta kejutan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika menjulang Piala Malaysia 2021, KL City yang diketuai Bojan Hodak sebelum ini terus mencipta sensasi apabila muncul naib juara Piala AFC tahun lalu dan juga naib juara Piala FA musim ini.
Selain bercita-cita untuk merebut kejuaraan, perhitungan malam ini juga bakal jadi pentas lunas dendam Terengganu selepas turut dikecewakan KL City pada separuh akhir Piala FA musim ini yang menyaksikan The City Boys menang 4-2 menerusi penentuan penalti.
“Piala Malaysia juga salah satu pertandingan yang begitu menarik dan sudah pasti kami mahu mara ke final. Setakat ini masih ada perkara yang perlu kami baiki dan kami perlu tampil lebih agresif,” katanya.