KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengakui pihaknya berdepan dengan masalah perkhidmatan tonto yang dibayar bagi melindungi kenderaan perdagangan dan barangan di jalan raya sepanjang Op Patuh Khas, yang bermula 1 Januari lalu.
Bagaimanapun, tindakan mereka tidak menghalang penguatkuasaan dilakukan apabila dalam tempoh tersebut sebanyak 446 kenderaan perdagangan dan komersial berjaya disita setakat, kelmarin.
Pengarah Penguatkuasa Kanan JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, sepanjang operasi bulan ini pihaknya mengesan kenderaan penguat kuasa JPJ diekori kumpulan terbabit.
“Penglibatan tonto sangat aktif ketika penguatkuasaan dijalankan yang mana anggota diekori dan boleh dikatakan menghalang tugas ketika ingin melakukan tindakan penguatkuasaan.
“Kita mempunyai pasukan risikan terlatih, memang pergerakan mereka (tonto) sendiri kami telah kenal pasti, seminggu sebelum operasi kita sudah gerakkan pasukan risikan kenal pasti tonto.
Walaupun kenderaan kita (JPJ) sudah dikenal pasti kumpulan tonto, tetapi kita masih berjaya menahan kenderaan melangar peraturan ini,” katanya selepas Op Patuh Khas di Stesen Penguatkuasaan JPJ Banting di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Lokman tidak menolak kemungkinan sindiket tonto ini mempunyai pelbagai senarai nombor pendaftaran kenderaan digunakan JPJ sepanjang operasi dijalankan.
Katanya, perkhidmatan tonto ini sendiri didalangi sendiri oleh warga tempatan yang menerima bayaran tertentu daripada syarikat pengendali kenderaan perdagangan bagi melindungi kenderaan mereka dikenakan tindakan undang-undang.
“Kami ambil perhatian serius berhubung perkara ini dan nasihat kepada anggota risik dan operasi untuk mengambil tindakan selamat apabila berdepan dengan tonto ketika bertugas.
“Turut dikesan kenderaan JPJ ketika operasi telah dikenal pasti oleh tonto, perkara ini biasa dan ramai tahu. Kami punyai pelbagai cara dan maklumat bagaiamana elak daripada dikesan seperto gunakan kendaraan sewaan serta perkara yang tidak boleh dijelaskan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lokman memaklumkan menerusi Op Patuh Khas, sebanyak 192,662 kenderaan perdagangan dan barangan diperiksa dan 49,585 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan 4,479 kenderaan tiada perlindungan insuransetakat kelmarin.
“446 kenderaan disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan 13 daripadanya atas kesalahan membawa lebih muatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE