KEKEJAMAN Israel terhadap rakyat Palestin terus menjadi perhatian dunia apabila sebuah hospital di Gaza dibedil dengan bom dari udara yang mengakibatkan 500 mangsa terkorban.
Biar jauh beribu batu, sokongan dari luar tidak berhenti selain menyalurkan doa serta kata-kata semangat buat umat Islam di bumi Palestin itu.
Walaupun tidak mampu mengangkat senjata melawan rejim Zionis, rata-rata masyarakat dunia mengecam tindakan gasar puak Israel yang rakus membunuh insan tidak berdosa termasuk kanak-kanak.
Selebriti serta pempengaruh tempatan juga tidak ketinggalan menunjukkan protes menerusi gerakan dalam media sosial mengutuk kekejaman itu selain menyalurkan bantuan menerusi pelbagai cara.
- Datuk Seri Siti Nurhaliza
PENYANYI, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus giat menyalurkan bantuan kewangan kepada tabung Palestin menerusi yayasan yang ditubuhkan bersama suaminya, Datuk Seri Muhammad Khalid Jiwa, Nurjiwa Foundation.
Pertubuhan tersebut juga membangunkan sekolah kanak-kanak Afwa Al-Afiyah di Gaza yang beroperasi sejak 5 Oktober 2021 dengan menempatkan 50 murid.
Bantuan kewangan bagi membeli makanan serta ubat-ubatan itu disampaikan wakil Nurjiwa Foundation menerusi pengurusan sekolah.
Malah Siti yang giat berkongsi situasi dan kekejaman terhadap rakyat Palestin selain menyeru orang ramai menyalurkan sumbangan ke Tabung Bantuan Khas Palestin hingga disekat di Instagram menegaskan akan tetap bersuara demi agama.
- Aeril Zafrel
AKTOR merangkap ahli perniagaan berjaya, Aeril Zafril nekad menjual Lamborghini Aventador miliknya dan menyalurkan separuh hasil jualan kereta mewah itu kepada Persatuan Pencinta Gaza.
Keputusan tersebut dibuat berikutan kereta yang dihadiahkan isterinya, Wawa Zainal setahun lalu itu jarang digunakan.
Sebahagian hasil jualan kenderaan kesayangannya yang ketika dibeli dahulu berharga RM2.27 juta telah diserahkan kepada pihak berkenaan.
Pada masa sama, aktor berusia 34 tahun yang digelar CEO TikTok tidak ketinggalan meminta orang ramai menyalurkan sumbangan kepada bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin.
- Zulin Aziz
PENGACARA dan pelakon, Zulin Aziz menggunakan pengaruh sebagai selebriti untuk menyeru golongan popular lain menjadikan laman sosial mereka sebagai gelanggang menyebarkan kebenaran.
Bekas penyampai radio itu yakin sokongan padu terhadap rakyat Palestin selain mengutuk kekejaman Israel dalam platform tersebut mampu membuka mata masyarakat dunia.
Menurut Zulin, selebriti serta pempengaruh mampu menjadi askar dalam media sosial, sekaligus membantu menangkis propaganda jahat Israel.
Baginya, kelantangan selebriti menerusi medan juang secara maya itu turut mampu mempengaruhi peminat mereka berbuat perkara sama.
- Khairul Aming
PENSOHOR media sosial yang juga usahawan, Khairul Aming antara individu popular terawal mengambil inisiatif menyumbang RM100,000 kepada rakyat Palestin.
Menurutnya, derma berkenaan adalah wang hasil jualan Sambal Nyet yang disalurkan terus kepada Tabung Cinta GAZA Malaysia (CGM).
Harapannya rakyat Malaysia turut membantu memenuhi sasaran kutipan RM10 juta yang diperlukan masyarakat Palestin sebagai persiapan menghadapi musim sejuk.
Bantuan berkenaan adalah untuk membeli bahan api, ubat-ubatan, makanan, peralatan mencari dan menyelamat serta keperluan lain.
- Vivy Yusof
SEBELUM ini media sosial kecoh apabila jenama tudung terkenal, dUCk dikritik netizen apabila jenama berkenaan menjual koleksi tudung, mug dan beg bermotifkan Palestin.
Walaupun 100 peratus keuntungan disumbangkan kepada badan bukan kerajaan (NGO), Viva Palestina Malaysia namun ada yang mempertikaikan tujuan pengasasnya, Vivy Yusof.
Usahawan selebriti itu tampil menjelaskan pihaknya tidak mengambil langsung hasil koleksi dUCk Palestin yang terjual pada harga RM300 itu.
Akuinya lagi, koleksi Palestin dikeluarkan semula atas permintaan pelanggan setia jenama tersebut yang mahu menunjukkan tanda solidariti mereka terhadap saudara seagama mereka.