PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan tiada istilah ‘lambat panas’ selepas meletakkan sebelah kaki ke pentas final Piala Malaysia dengan menewaskan Perak FC 4-1 pada aksi separuh akhir kelmarin.
Pada aksi di Stadium Perak, Ipoh itu, skuad Harimau Selatan meraih gol hasil jaringan Oscar Arribas, Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad dan Nazmi Faiz, manakala tuan rumah mendapat gol tunggal menerusi Luciano Guaycochea.
Pengendali import JDT, Esteban Solari mengakui pasukannya masih belum berada pada tahap 100 peratus memandangkan barisan pemain baru sahaja dikumpulkan selepas berehat dua minggu kerana kalendar antarabangsa.
Kata Solari, pasukan sepatutnya boleh mendapatkan lebih banyak jaringan tetapi keputusan semasa yang diraih boleh dianggap cukup positif dalam usaha untuk mara ke pentas final.
“Semua pemain faham dengan taktikal yang cuba kami terapkan pada perlawanan ini dan saya sangat gembira kita dapat meraih empat jaringan. Cuma, ada beberapa peluang yang disiakan kerana sepatutnya boleh mendapat tambahan lagi dua gol.
“Apa yang pasti, kemenangan ini cukup penting buat kami kerana ia adalah aksi pertama selepas saingan liga berehat kerana memberi laluan kepada saingan antarabangsa sebelum ini.
“Secara keseluruhan, saya tidak mahu pasukan terlalu berpuas hati kerana kita akan mengharungi perlawanan getir Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada minggu depan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, pengendali dari Argentina itu turut memuji prestasi pasukan The Bos Gaurus bimbingan Yusri Che Lah yang mempamerkan semangat juang tinggi.
“Kita dapat lihat Perak sudah menunjukkan peningkatan dengan cuba untuk berikan tekanan tetapi saya bangga prestasi yang dipamerkan oleh pasukan dengan tidak memberikan sebarang ruang buat mereka,” katanya.