PETALING JAYA – Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 buat julung kalinya dilaksanakan menerusi konsep jelajah merentasi 14 negeri di lokasi terpilih sepanjang bulan Oktober ini.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai pengunjung antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Simpan SSPN Got Talent, Rekacipta Model Robotik dan Family Jenga.
Lebih menarik, Cabutan BMS 2023 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM75,000 kepada seramai 66 pemenang.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, BMS 2023 merupakan program ‘signature’ yang telah dilaksanakan sejak 2018.
Menurutnya, pelaksanaan program ini bagi tahun ke enam adalah bukti komitmen PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat.
“Pada tahun ini, PTPTN mensasarkan jumlah deposit Simpan SSPN bagi BMS 2023 adalah sebanyak RM220 juta.
“Saya optimis sasaran ini dapat dicapai berdasarkan rekod pencapaian BMS lima tahun penganjurannya sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, PTPTN melancarkan BMS 2023 Peringkat Zon Utara yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid di Mydin Mall, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.
Difahamkan, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, dividen yang kompetitif serta Geran Sepadan sehingga RM10,000.
Tambah Norliza, PTPTN terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menabung menerusi Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.
“Kami yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai ‘Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara’. Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2023, layari www.ptptn.gov.my/BMS2023,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE