SEREMBAN – Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar, 59, meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.
Anaknya, Mohamad Fadhil Zulkefly Mohamad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan jenazah bapanya itu akan dibawa ke Masjid Kariah Lenggeng untuk dimandi serta dikafankan.
“Doktor mengesahkan kematian arwah kira-kira pukul 1.30 petang tadi akibat kekurangan oksigen serta jantung (degupan) terlampau laju.
“Saya sedang menguruskan jenazah arwah ayah saya, sedekahkan al-Fatihah buatnya,” katanya.
Terdahulu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan itu dilaporkan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang selepas mengalami masalah lemah jantung dan beberapa komplikasi penyakit lain.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman ketika dihubungi berkata, pemergian Zulkefly Mohamad merupakan kehilangan besar buat parti berkenaan.
“Arwah merupakan pengasas Amanah di Negeri Sembilan dan telah berusaha menubuhkan Amanah dengan berkorban tenaga, wang ringgit dan sebagainya.
“Beliau juga masih memegang jawatan Naib Pengerusi Amanah Negeri Sembilan. Ini merupakan satu kehilangan buat parti, saya dimaklumkan jenazah akan dikebumikan di Lenggeng,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Allahyarham memulakan karier politik bersama Pas dan menyertai Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) pada tahun 1999 dengan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.
Beliau kemudiannya juga bertanding di kerusi sama pada PRU11, PRU12 dan PRU13 selain bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Bagan Pinang pada tahun 2009.
Allahyarham turut menjadi Pesuruhjaya Pas dari tahun 2005 sehingga 2011. Bersama Amanah, Allahyarham pernah bertanding pada PRU14 di kerusi DUN Johol serta turut bertanding di Parlimen Jelebu pada PRU15, November tahun lalu.
Zulkefly Mohamad dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan pada Julai 2018 apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 dan berjaya membentuk kerajaan Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE