fbpx

40 klinik, hospital di Kelantan berisiko dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaini (dua dari kiri) beramah mesra dengan peserta APCU 2023 di Hotel Grand Renai, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSMIZAN RESDI / KOSMO!

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengenal pasti lebih 40 fasiliti kesihatan termasuk klinik dan hospital di negeri ini berisiko dilanda banjir sepanjang tempoh peralihan Monsun Timur Laut.

Pengarah JKNK, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jumlah tersebut berpandukan kepada garis panduan dan pengalaman banjir yang berlaku sebelum ini

“Sebelum ini, terdapat kawasan yang dijangka tidak berdepan banjir seperti di Pasir Puteh. Kawasan tersebut berlaku banjir pada tahun lalu berpunca daripada banyak faktor termasuk pembangunan dan saliran.

“Jadi, kita tetap berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan termasuk kawasan yang tidak pernah dinaiki air,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Asia Pacific Cardiology Update (APCU) 2023 di Hotel Grand Renai di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Zaini memberitahu, sehubungan itu, JKNK telah mengarahkan semua hospital dan klinik kesihatan di negeri ini untuk menyediakan kelengkapan logistik di kawasan yang berpotensi dilanda banjir.

Katanya, segala urusan pemindahan operasi kesihatan untuk pesakit yang memerlukan rawatan segera dan berterusan seperti rawatan dialisis selain ibu yang hampir bersalin turut dikenal pasti.

“Banjir boleh dikatakan berlaku setiap tahun di Kelantan dan kita akan mempersiapkan segala protokol termasuk semua prosedur operasi standard (SOP) yang ada.

“Pengalaman lepas mengajar kita beberapa perkara untuk bersiap sedia memantau dari masa ke semasa keadaan cuaca dan amaran yang dikeluarkan,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI