PETALING JAYA – Zoo Negara menanggung kerugian lebih RM300,000 ekoran kejadian banjir kilat yang melanda Lembah Klang baru-baru ini.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmad Lana berkata, antara kerosakan yang memerlukan kos besar untuk dibaiki adalah fasitliti seperti jambatan pecah dan peralatan pejabat termasuk komputer.
“Kita juga memerlukan kos untuk membersihkan karpet. Anggaran bawah RM500,000.
“Punca air naik di kawasan Zoo Negara adalah disebabkan limpahan dari Sungai Kemensah yang tidak dapat menampung walaupun sungai tersebut sudah diperbesarkan.
“Zoo Negara tidak boleh buat apa-apa. Yang penting adalah pelan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Mereka yang membesarkan sungai,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menurut Rosly, pihak JPS telah hadir ke Zoo Negara semalam bagi melihat situasi yang berlaku.
“Tanggungjawab Zoo Negara adalah untuk menyelamatkan pengunjung dan haiwan di sini. Itu sahaja yang boleh kami lakukan,” katanya.
Tambahnya, idea memindahkan Zoo Negara ke tempat lain bukanlah semudah yang disangka kerana ia bukan hanya melibatkan tapak semata-mata.
“Sebelum ini kita tidak bersedia, jadi agak kelam kabut. Tetapi sekarang perkara itu sudah biasa, kalau berlaku banjir kilat, kita bersedia untuk selamatkan haiwan,” ujarnya.
Tambahnya, Zoo Negara hari ini telah membentangkan mesyuarat bagi wujudkan kenderaan untuk menyelamatkan pengunjung sekiranya berlaku bencana.
“Kami sedang memikirkan kaedah untuk mendapatkan kenderaan membantu pengunjung apabila hujan. Bila mereka tidak boleh berjalan dalam hujan. Dalam mesyuarat kita fikir untuk mencari kenderaan bagi memudahkan mereka.
“Kalau haiwan pula, orang luar tidak boleh tangkap. Jadi, kakitangan kami perlu sentiasa bersedia untuk menyelamatkan haiwan. Setakat ini, tiada kematian haiwan dilaporkan,” katanya.
Seramai 50 orang pengunjung dilaporkan terperangkap semasa banjir kilat melanda Zoo Negara baru-baru ini namun mereka telah diselamatkan oleh petugas dengan menaiki lori dan traktor. – KOSMO! ONLINE