fbpx

Tahan sakit potong rumput demi sara adik OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan tangan kiri Shahrolnizam yang masih berbalut akibat terkena pemotong besi pada Februari lalu.

BALIK PULAU – Kecederaan pada tangan kiri akibat terkena pemotong besi lapan bulan lalu sedikitpun tidak melemahkan semangat seorang lelaki dari Ba­yan Baru di sini untuk terus berbakti dan menjaga adik perem­puannya yang juga orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Shahrolnizam Mohd. Din, 42, berkata, akibat kemalangan pada Februari lalu itu, dia terpaksa menerima 28 jahitan sehingga menjejaskan pergerakannya untuk keluar mencari rezeki sebagai pembersih di sebuah inap desa dengan bayaran sebanyak RM10 sehari.

Menurut Shahrolnizam, dia tidak pernah berputus asa, sebaliknya bangkit bekerja dengan mengambil upah sebagai pemotong rumput.

“Keadaan makin susah selepas saya terputus sumber pendapatan. Memang ada keluarga dan jiran yang membantu, tetapi sebolehnya saya tidak mahu menyusahkan siapa-siapa.

“Saya hanya mahu menjaga adik perempuan yang juga OKU berusia 27 tahun. Dia tinggal de­ngan saya sejak tiga bulan lalu dan sebelum ini, adik bekerja kilang dan menyewa di Bayan Baru.

“Memang sebelum ini kami sama-sama berkongsi serba sedikit hasil pendapatan. Tidak kisah makan nasi berlauk telur kicap sekalipun kerana itu sudah menjadi kebiasaan untuk kami,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Terdahulu, kediaman Shahrolnizam dikunjungi sukarelawan Nek Norbi bersama rakan-rakannya selepas rumah peninggalan arwah ibunya itu dilanda banjir kilat pada Ahad lalu.

“Dalam keadaan tangan yang belum pulih sepenuhnya dan masih menggunakan pendakap, saya kena juga keluar mengambil upah potong rum dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Tidak semua rumah yang mahu mendapatkan khidmat memotong rumput. Saya pernah dapat upah RM60 untuk sebuah rumah dalam sebulan dan paling banyak dua buah rumah dengan upah RM120,” ujarnya,

Jelasnya lagi, dia kini sedaya upaya mencari pekerjaan lain yang sesuai dalam keadaannya dan sebolehnya mahu menggembirakan adiknya itu.

“Saya berusaha nak cari pendapatan selagi boleh. Apa-apa kerja pun saya sanggup buat kerana tak mahu lihat adik susah hati, sedih dengan keadaan yang saya hadapi.

“Saya juga jenis yang tidak boleh duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja,” tambahnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun BSN 0714141000047140 atas nama Shahrolnizam Mohd. Din atau hubunginya di talian 019-4318834.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI