PETALING JAYA – Pengguna media sosial menjangkakan pengikut TikTok akaun Syamimia akan berkurangan lagi kepada 900,000 orang sahaja berbanding 913,000 orang ketika ini.
Penurunan secara mendadak ini berlaku selepas wanita yang meledak dengan isu peti sejuk SMEG dikecam teruk kerana didakwa tidak berkongsi dan cakna mengenai nasib yang menimpa rakyat di Palestin.
Meskipun wanita itu telah tampil membuat permohonan maaf, namun ‘kuasa netizen’ untuk terus ‘memboikot pempengaruh media sosial tersebut semakin menggila.
Difahamkan pengikut Syamimia di TikTok pada asalnya sekitar 1.3 juta orang namun dalam tempoh beberapa hari ini, dia telah hilang lebih 300,000 pengikut termasuk di platform Instagram miliknya.
Berdasarkan komen pengguna di media sosial, ramai yang sedang menghitung penurunan pengikut Syamimia di TikTok dengan menyasarkan 900,000 orang pada hari ini.
“Road to 900k, jom sama-sama kita boikot, kalau dia tak ada ‘common sense’ dengan saudara Islam kita di Gaza, kita pun perlu elak ikut orang macam dia,” kata Zack.
“Kerana mulut, badan binasa, sebab itu kalau memang ambil pendekatan untuk tidak berkongsi, duduk diam-diam, jangan buat video kononnya nak pertahankan diri, sebaliknya lebih nampak kesilapan diri,” tegur Amaniiy.
“Jangan buat main kuasa netizen, lagi pedas dari celi api, lagi laju tangan tekan ‘unfollow’ kalau mereka dah marah, elok dari orang puji awak seorang yang pandai menghias rumah, terus awak hilang pengikut sebab mulut tak pandai jaga,” ujar Xxiaizi.
Semakan Kosmo! di platform TikTok Syamimia setakat pukul 10 pagi ini, didapati jumlah pengikut ibu kepada seorang anak itu berbaki 912,700 orang. – KOSMO! ONLINE