PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan sebanyak 2,566 kompaun bernilai RM1.28 juta bagi penguatkuasaan pencegahan dan kawalan penyakit Demam Denggi sepanjang bulan lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tindakan itu dibuat melalui Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan purata setiap kompaun dikenakan sebanyak RM500.
“Sejumlah 523 kes didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa sama sebanyak 95 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM161,650.
“Tindakan penguatkuasaan turut dilaksanakan bagi menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 sepanjang tempoh sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, sejumlah 9,848 notis kesalahan dikeluarkan daripada 23,093 premis yang dilawati dengan sebanyak 4,753 kompaun dikenakan berjumlah RM1,168,050.
“Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 pula, sebanyak 6,003 premis makanan diperiksa dengan 176 premis diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya.
Muhammad Radzi memberitahu, tindakan penguatkuasaan adalah pilihan terakhir yang diambil KKM dan orang ramai serta semua pihak diminta menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum. – KOSMO! ONLINE