PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat ekoran dipercayai memberi suapan kira-kira RM17,000 kepada pegawai di sebuah kementerian bagi mempercepatkan bayaran tuntutan subsidi ayam dan telur kira-kira RM600 juta sejak Mei lalu.
Difahamkan, SPRM turut menahan seorang individu lelaki berusia 30-an yang merupakan pekerja kepada pengarah syarikat berkenaan.
Menurut sumber, pengarah syarikat berusia lingkungan 40-an yang juga merupakan presiden persatuan berkaitan penternakan di Subang Jaya ditahan pukul 6.30 petang semalam.
Katanya, lelaki itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Bagi tempoh lima bulan sejak Mei lalu, bayaran subsidi yang dilunaskan berjumlah RM600 juta melibatkan lebih 300 syarikat penternakan ladang ayam pedaging dan ayam penelur seluruh negara,” katanya tadi.
Susulan penahanan tersebut, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 22 Oktober 2023 setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE