BERN, Switzerland – Penduduk yang tinggal berhampiran Tasik Zurich di Switzerland terkejut melihat sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar di langit pada waktu malam.
Akhbar The Express melaporkan, imej objek berbentuk cakera yang memancarkan cahaya terang itu dirakam penduduk di bandar kecil Feldmeilen pada malam 15 Oktober lalu.
Ketika kejadian, seorang wanita terjaga dari tidurnya disebabkan cahaya misteri dan terang di langit pada waktu tengah malam.
Wanita tersebut pada awalnya menyangka bahawa cahaya itu berasal dari kelab malam, namun dia hairan apabila tiada pancaran laser di atas tanah dan persekitaran turut sunyi.
“Pada mulanya, kami menyangka ia adalah pertunjukan cahaya kelab malam, namun tiada pancaran laser dari tanah. Selain itu, tiada sebarang bunyi,” katanya.
Objek kemudian hilang selepas lima minit kemudian.
Penampakan UFO juga dilaporkan di kampung Diessenhofen yang terletak sejauh 64 kilometer dari bandar Feldmeilen dan 48 kilometer dari bandar Schaffhausen.
Sepasang suami isteri di kampung itu berkata: “Ketika kami berada di balkoni, kami melihat cahaya aneh. Nasib baik ada orang lain yang melihatnya, jika tidak, kami fikir kami gila.
Seorang penduduk di bandar Schaffhausen yang melihat cahaya aneh itu pada pukul 11.30 malam (waktu tempatan) menyifatkannya sebagai berbeza berbanding lampu-lampu lain. – Agensi