fbpx

Obesiti tingkat risiko hidap 13 jenis kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIANGGARKAN 90 peratus penghidap kanser mengalami masalah obes. – Gambar hiasan

GAYA hidup masyarakat di Malaysia kini kian berubah sejak beberapa dekad lalu.

Orang ramai dilihat semakin tidak mengambil berat akan aspek pemakanan dengan menikmati apa sahaja yang diidamkan.

Maka tidak hairanlah, ramai antara kita berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, hampir 50.1 peratus golongan dewasa berhadapan dengan masalah obesiti.

Data itu menunjukkan bahawa seorang daripada dua orang dewasa di negara ini dikategorikan sebagai mempunyai berat badan berlebihan.

Sebenarnya, masalah itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan seseorang berhadapan dengan pelbagai penyakit.

Ketua Laboratori Penyelidikan Kanser Universiti Putra Malaysia-Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Prof. Madya Dr. Chia Suet Lin berkata, masalah berat badan berlebihan atau obesiti akan meningkatkan risiko seseorang itu menghidap kanser.

Menurutnya, kebanyakan rakyat Malaysia beranggapan bahawa masalah itu akan menyebabkan seseorang menghadapi penyakit seperti kardiovaskular, strok, diabetes dan lain-lain.

“Individu yang mempunyai berat badan dengan indeks jisim tubuh (BMI) melebihi 40 atau obes lebih cenderung mendapat kanser berbanding berat badan normal.

“Namun, rata-rata masyarakat memandang enteng masalah berat badan berlebihan dan obesiti ini,” katanya.

LEMAK berlebihan boleh meningkatkan sel kanser sehingga menyebabkan tumor. – Gambar hiasan

Tambahnya, mereka yang menghidap kanser selalunya dikaitkan dengan penuaan, genetik, merokok atau ‘vaping’, radiasi, bahan kimia dan jangkitan.

Bagaimanapun, berat badan berlebihan atau obesiti adalah penyebab kepada 13 jenis kanser.

Kanser terbabit adalah payudara, kolorektal, rahim, darah, buah pinggang, kepala dan leher, esofagus, pankreas, endometrium, prostat, pundi hempedu serta tiroid.

Ia juga berlaku kerana perubahan hormon yang berpunca daripada peningkatan tahap insulin, faktor pertumbuhan insulin dan hormon seks.

Selain itu, keradangan berpanjangan dalam badan, perubahan metabolisme seperti pengambilan glukosa dan lipid berlebihan akan menyebabkan berat badan naik dengan mendadak. Ini akan mendorong kepada peningkatan risiko mendapat kanser.

Dr. Suet Lin menjelaskan, sel lemak berlebihan akan meningkatkan keradangan serta mengubah hormon badan, sekali gus meningkatkan keradangan dalam imunisasi badan seseorang.

DR. SUET LIN

“Ia juga akan menyebabkan sel dalam badan seseorang membesar serta meningkatkan sel kanser sehingga menyebabkan tumor.

“Satu kajian yang dilakukan oleh American Cancer Society menunjukkan, 90 peratus penghidap kanser mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes dalam lingkungan usia 50 tahun dan ke atas.

“Selepas menopaus, wanita cenderung menghidap kanser payudara disebabkan masalah obesiti,” jelasnya.

Tambahnya, kolorektral pula adalah kanser yang sering dialami oleh golongan lelaki obes.

Untuk makluman, kanser adalah penyakit kedua yang membunuh manusia di seluruh dunia.

Hampir 10 juta orang meninggal dunia setiap tahun disebabkan penyakit ini.

Malangnya, lebih daripada 60 peratus pesakit kanser telah didiagnos pada tahap tiga dan empat di Malaysia.

Sementara itu, Dr. Suet Lin menyarankan agar setiap sajian yang diambil harus pelbagai dan memenuhi diet seimbang dengan kuantiti sederhana.

Ujarnya, ia bagi menghalang penyakit kronik dan masalah-masalah lain.

“Kita tidak menghalang golongan sihat menikmati juadah, tetapi mereka perlu bijak semasa memilih makanan dan kuantitinya. Jangan sambil lewa kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada diri,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI