PETALING JAYA – Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menerima banyak aduan daripada para majikan mengenai kesukaran untuk mendapatkan pekerja berdasarkan kriteria yang diperlukan.
Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, ia berpunca daripada ketidaksepadanan kelulusan dan kemahiran yang dicari majikan, sekali gus menyumbang kepada isu pengangguran.
Selain itu, katanya, rakyat tempatan juga tidak berminat untuk mengisi kekosongan untuk jawatan yang dianggap sebagai pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar).
“Memang wujud isu ketidaksepadanan kelulusan dan kemahiran yang dimiliki graduan baru dengan apa yang diperlukan pasaran kerja.
“Selepas pembukaan semula ekonomi sepenuhnya sejak April 2022, kebanyakan sektor ekonomi mengalami kesukaran untuk mendapat pekerja.
“Lebih sukar apabila pekerja tempatan yang menganggur, tidak berminat untuk mengisi kekosongan yang ada kerana kerja-kerja berkenaan dianggap sebagai 3D,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan ramai penganggur yang berumur 30-an resah apabila majikan lebih berminat untuk menggaji pekerja lebih muda kerana ingin membayar gaji murah.
Tambah Syed Hussain, sektor ekonomi yang berkaitan tidak mempunyai pilihan dan terpaksa mengambil pekerja asing untuk memenuhi permintaan pasaran.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menaik taraf program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), bagi meningkatkan peratusan pekerja berkemahiran tinggi kepada 35 peratus menjelang 2025.
“TVET penting untuk lahirkan pekerja berkemahiran tinggi. Peralatan di institusi TVET perlu dinaik taraf supaya pelajar dapat menguasai pengguna peralatan dan mesin terkini,” ujarnya.