KUALA LUMPUR – Kawalan keselamatan di kedutaan Amerika Syarikat dipertingkatkan susulan beberapa siri perhimpunan yang diadakan di kedutaan terbabit, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed berkata, perkara tersebut adalah menjadi kewajipan kepada pihaknya untuk memastikan suasana aman dan selamat serta tidak melibatkan isu keselamatan.
“Kita dapati beberapa siri perhimpunan dijalankan di kedutaan terbabit, dan kita ambil maklum akan perkara ini.
“Kawalan keselamatan sememangnya kita sentiasa tingkatkan dari semasa ke semasa dan menjadi tanggungjawab polis bagi menjaga keselamatan pejabat perwakilan asing di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas berkaitan beberapa siri himpunan diadakan berkaitan isu melibatkan Palestin, Allaudeen mengingatkan agar himpunan terbabit dijalankan dalam suasana yang mematuhi aspek peraturan ditetapkan.
“Mereka yang terlibat dalam perhimpunan diminta patuh dengan undang-undang. Saya percaya semua perhimpunan ini dijalankan secara aman dan mengikut peraturan,” katanya.
Hari ini, media melaporkan, himpunan solidariti demi Gaza dan Palestin anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan bermula di sekitar bangunan Tabung Haji dan berarak ke kedutaan Amerika Syarikat.
Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, serta beberapa pemimpin politik yang lain. – KOSMO! ONLINE.