ALOR SETAR – “Harap berpeluang jumpa mereka lagi.”
Itu doa yang dititipkan seorang penuntut Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dari Palestin selepas terputus hubungan dengan keluarga yang berada di Semenanjung Gaza.
Menurut Abdallah Jomaa Jamel Hasanain, 20, kali terakhir dia menghubungi keluarganya pada 6 Oktober lalu sebelum lokasi rumah mereka diserang tentera Zionis Israel.
“Sudah dua minggu saya tidak mendapat khabar daripada ibu bapa serta adik-beradik. Saya risau tentang mereka dan semua yang berada di Gaza ketika ini.
“Saya hanya mampu berdoa agar mereka semua selamat dan saya berpeluang bertemu dengan mereka lagi nanti. Tentera Zionis Israel menyerang penempatan kami di sana dan semua kemudahan telekomunikasi diputuskan,” katanya ketika ditemui di Kampus AIU, di sini semalam.
Abdallah merupakan salah seorang daripada 17 pelajar Palestin yang menuntut di AIU dalam pelbagai bidang di bawah tajaan Yayasan Albukhary dengan sembilan daripada mereka berasal dari Semenanjung Gaza.
Sejak 7 Oktober lalu, Israel mengebom bertubi-tubi Semenanjung Gaza sehingga memusnahkan kediaman selain mengakibatkan penduduk terkorban.
Menurut Abdallah yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik, dia tidak terbayang kesengsaraan yang ditanggung keluarga dan penduduk di Gaza ketika ini.
“Saya sendiri tidak tahu keadaan keluarga dan rumah, saya cuma lihat khabar daripada berita-berita sahaja. Saya tahu mereka tiada makanan dan air bersih untuk diminum.
“Kadang-kadang rasa kecewa kerana saya di sini dan keluarga di sana tetapi saya percaya ini adalah takdir,” kata pelajar Tahun Satu Jurusan Sains Komputer itu.
Menurut Adnan Madi, 20, yang juga berasal dari Gaza, dia gagal menghubungi keluarganya sejak kelmarin dan berdoa agar tiada perkara buruk menimpa mereka.
“Semalam (kelmarin) saya masih berhubungan dengan menghantar mesej kepada mereka tetapi hari ini saya gagal berbuat demikian. Mesej yang dihantar tidak berbalas dan panggilan juga tidak berangkat.
“Saya benar-benar kerisauan. Saya dapat maklumat penempatan kami kena bom dan saya berdoa keluarga selamat. Saya pernah menasihatkan keluarga agar berpindah dari situ, namun kata mereka dalam keadaan sekarang mereka boleh terbunuh di mana-mana sahaja, saya faham perasaan mereka,” kata pelajar Tahun Dua Sains Komputer itu.
Rakannya, Ahmed Mohamed Ali Alnanai, 22, berkata, abangnya nyaris terbunuh akibat serangan bom di kawasan penempatan mereka baru-baru ini.
“Ketika itu abang berada di balkoni rumah tetapi dia terdengar bunyi letupan yang kuat sebelum beredar. Rumah saya terkena bom itu, namun semua keluarga saya terselamat. Alhamdulillah,” ujarnya.
Menurut seorang pensyarah, Osaid N.A. Abdaljawwad, emosi pelajar berkenaan terganggu dengan situasi peperangan yang berlaku di Gaza ketika ini.
“Emosi kebanyakan pelajar Palestin ketika ini terganggu kerana mereka sudah terputus hubungan dengan keluarga sejak dua minggu lalu. Saya berusaha sedaya upaya untuk memotivasi dan memberi kata-kata semangat kepada mereka,” katanya. -KOSMO! ONLINE