JEMPOL – Seorang Imam Masjid Felda Raja Alias 2 di sini, meninggal dunia selepas buah kelapa yang dikait jatuh mengenai kepalanya pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa, Aisa Ujang, 66, meninggal dunia selepas dua jam menerima rawatan di Hospital Jempol.
Menurutnya, berdasarkan keterangan anak mangsa, kejadian pada pukul 8.30 pagi itu berlaku di belakang rumah warga emas tersebut. Buah kelapa itu dikait selang dua minggu untuk dijual kepada peniaga.
“Kejadian itu disaksikan isteri mangsa. Sebaik kejadian, isteri warga emas itu segera mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga dan jiran berdekatan untuk menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dua jam menerima rawatan. Doktor mendapati tiada kesan luka disebabkan senjata tajam seperti parang atau sabit,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, mangsa mengalami kecederaan dalaman pada bahagian kepala akibat ditimpa buah berkenaan.
Keluarga turut memaklumkan mangsa turut mempunyai sejarah sakit jantung sejak 2018 dan darah tinggi sejak 2010. – KOSMO! ONLINE