LONDON – Seorang wanita lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda selepas dia mengambil sebanyak 600 kanister gas ketawa dalam tempoh seminggu, lapor portal berita metro.co.uk semalam.
Kerry-Anne Donaldson, 26, dari London, ketagih mengambil gas ketawa itu yang dikenali sebagai NOS, sejak berusia 18 tahun. Ketika umurnya 21 tahun, kaki Kerry-Anne menjadi kebas, menyebabkan dia terpaksa duduk di kerusi roda.
Rasa kebas itu kemudian merebak ke tangannya dan dia juga terpaksa menggunakan alat untuk membantunya berjalan.
Dalam pada itu, kerajaan Britain mengumumkan gas ketawa atau nitrus oksida itu akan menjadi barang terlarang pada 8 November ini.
Bercakap selepas pengumuman pengharaman nitrus oksida, gadis itu berkata: “Saya tidak fikir undang-undang akan menghalang penggunaannya di jalanan. Jika seseorang mahukannya, akan sentiasa ada cara untuk membelinya.”
Kesan akibat penggunaan gas itu adalah berasa ketawa, santai dan euforia tetapi ia juga boleh menyebabkan penggunanya cemas, paranoid serta pening. – AGENSI