fbpx

FAM sedia jadikan Pestabola Merdeka acara tahunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEHADIRAN serta sambutan yang diberikan oleh penyokong bola sepak tempatan cukup menggalakkan pada kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini. – FARIZ RUSADIO

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi bayangan bakal meneruskan kejohanan tradisi Pestabola Merdeka secara tahunan selepas mendapat sokongan padu pada penganjuran edisi 2023 baru-baru ini.

Naib Presiden FAM, Mohd. Firdaus Mohamed berkata, penganjuran Pestabola Merdeka 2023 boleh dianggap sebagai berjaya terutama selepas saingan itu di­sisihkan hampir 10 tahun.

Kata Mohd. Firdaus, Pestabola Merdeka yang dianjurkan sejak 1957 dan kini memasuki edisi ke-42 sememangnya memiliki prestij tersendiri sehingga menaikkan semangat rakyat Malaysia.

“Saya harap penganjuran Pestabola Merdeka dapat diadakan secara tahunan selepas ini. Kita harus ingat, sentimen kejohanan ini cukup dekat
dengan penyokong bola sepak tanah air.

“Selepas satu dekad tidak dianjurkan, kehadiran serta sam­butan diberikan penonton cukup menggalakkan. Malah, respons yang kami terima juga mahu pastikan saingan ini diteruskan pada masa akan datang.

“Cuma, saya akui perancangan harus bermula sekarang kerana difahamkan jadual kelendar antarabangsa tahun depan agak padat selain kami juga perlu berusaha untuk mencari pasukan terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Sebagai rekod, saingan kali ini disertai tiga negara iaitu India selain Malaysia selaku naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikis­tan di pentas final, Selasa lepas.

Namun, Mohd. Firdaus mengakui Pestabola Merdeka 2023 sedikit terjejas ekoran kontroversi yang melanda padang Stadium Nasional Bukit Jalil selain Palestin yang menarik diri pada saat akhir.

“Saya akui penganjuran kali ini tidak begitu sempurna susulan ada masalah padang yang menjadi gangguan. Namun, kami anggap ia sebagai cabaran kerana bukan mudah untuk menghidupkan saingan ini selepas 10 tahun.

“Kita ambil situasi tersebut sebagai pengajaran dan pengalaman untuk memastikan penganjuran lebih baik pada edisi akan datang,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM itu.xx

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI