KEMAMAN – Gara-gara penyebaran kisah mistik, perniagaan kira-kira 20 pengusaha di medan selera Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di sini terjejas teruk sejak lebih seminggu lalu.
Pendapatan mereka merosot berkali ganda ekoran kekurangan pelanggan dalam kalangan pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).
Seorang peniaga, Nurul Farihin Farhana Mat Noor, 27, berkata, pengguna LPT 2 semakin takut untuk singgah ke R&R Perasing kerana bimbang diganggu makhluk halus ekoran penularan kisah mistik itu di media sosial sejak 9 Oktober lalu.
“Dakwaan itu tidak benar, malah berdasarkan video tular tersebut, pemandu lori tidak singgah masuk pun R&R Perasing sebaliknya sekadar melaluinya.
“Saya yang sudah 10 tahun berniaga di medan selera hentian ini tidak pernah sekali pun diganggu apa-apa makhluk halus entiti,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di R&R Perasing di sini semalam.
Nurul Farihin Farhana berkata, pendapatan hariannya kini cuma RM100 berbanding mencecah RM1,000 terutama pada hujung minggu sebelum ini.
Seorang lagi peniaga makanan, Zuraida Mohd Ali, 45, berkata, kisah mistik yang dimomokkan itu telah memberi kesan besar terhadap perniagaan.
“Jualan makanan saya terjejas teruk sehingga tidak mampu menampung kos operasi sejak kebelakangan ini.
“Kerugian yang dihadapi terpaksa dengan wang simpanan saya bagi membayar gaji harian tiga pekerja,” katanya.
Nor Shazliana Mamat, 22, pula merayu agar cerita-cerita hantu dan tahyul berkaitan R&R Perasing dihentikan segera.
Kosmo! Online 11 Oktober lalu melaporkan, seorang lelaki mendakwa diganggu makhluk halus sewaktu memandu lori dan melalui laluan berhampiran R&R Perasing ketika dalam perjalanan menuju ke Kuantan.