KUALA LUMPUR – Menawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing bermula dari RM100 dengan memakaikan gelang tangan berlampu pada wanita pilihan.
Helah tersebut terbongkar dalam serbuan Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), D3, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah pusat hiburan Jalan Kuchai Maju 11, di sini, pukul 1 pagi tadi.
Wartawan Kosmo! ketika mengikuti serbuan tersebut mendapati, pelanggan yang berminat dengan wanita pilihan mereka perlu membayar sejumlah wang kepada ‘mummy’ sebelum diberikan gelang tangan berlampu.
Difahamkan, wanita yang dipilih akan diberikan tip untuk menemani pelanggan dengan karaoke dan minum di dalam banggunan yang sama.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Op Pintas Pusat Hiburan itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman.
“Seramai 23 wanita warga asing disyaki GRO terdiri dua Indonesia dan Thailand (21) telah ditahan.
“Turut ditahan seorang wanita tempatan dipercayai berperanan sebagai ‘mummy’ selain dua lelaki tempatan dan tiga lelaki Bangladesh,” katanya.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia 21 hingga 52 tahun. Katanya, premis merupakan pusat hiburan pub dan karaoke dan dipercayai telah beroperasi lebih kurang dua bulan.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE