fbpx

Bapa 7 anak buat tiga kerja dalam seminggu untuk hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seorang bapa terpaksa membuat tiga jenis pekerjaan dalam seminggu bagi menampung perbelanjaan isteri dan tujuh orang anaknya.

Kisah bapa tersebut diceritakan semula oleh pengguna, Mohd. Firdaus Jailani menerusi hantaran di Facebooknya baru-baru ini.

Katanya, suatu hari dia menggunakan perkhidmatan e-hailing dan sempat berbual dengan pemandu kereta tersebut.

“Semalam balik naik kereta e-hailing. Abang itu pandu laju betul. Kemudian saya perasan dia macam nak terlelap, tiga, empat kali juga. Saya tegur dan dia perlahankan kenderaan.

“Saya tawar dia berhenti supaya dia boleh lelap 10 hingga 15 minit. Dia tak nak, jadi terpaksalah saya ajak dia menyembang.

“Sembang punya sembang, rupanya dia buat tiga kerja. Anak ada tujuh orang, paling kecil baru setahun lebih, siang dia kerja kilang bila malam dia buat perkhidmatan e-hailing dan hujung minggu dia buat kerja paip,” kongsinya.

Tambah Mohd. Firdaus, setibanya dia di lokasi yang dituju, dia sempat mengajak lelaki tersebut untuk singgah berehat sambil minum di sebuah kedai supaya dapat menghilangkan rasa mengantuk, namun pelawaannya ditolak dengan baik.

“Sampai di destinasi saya ajak beliau minum untuk hilangkan mengantuk beliau. Beliau tolak sebab katanya belum sampai target harian lagi. Sudah pukul 11 malam. Pukul berapalah agaknya beliau akan pulang. Esok pagi nak kerja lagi.

“Semoga Allah kuatkan jiwa dan tenaga kedua ibu bapa yang bekerja keras membela keluarga. Terus rasa diri ini sangat kurang bersyukur. Terima kasih Allah berikan ingatan dengan cara halus begini,” luahnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang dapat memahami nasib si bapa tersebut apabila kesukaran untuk hidup di zaman serba mahal ini memerlukan pengorbanan lebih termasuk melakukan pelbagai pekerjaan demi mencari pendapatan buat keluarga.

“Pengorbanan seorang ayah nak pastikan semua komitmen dan keperluan anak-anak dan isteri terjaga. Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan abang ini sekeluarga,” kata @Bibi Siti Nurba II.

“Hidup ini keras, saya pun kerja sendiri ambil budak sekolah, sambil itu jual apa yang boleh buat duit sambil menanam tunggu hasil. Yang penting anak-anak cukup,” kongsi @Jenny Chung.

“Semua benda dah mahal, kos sara hidup tinggi. Tak boleh bergantung satu pendapatan, kalau isteri tak kerja, suami mesti kena buat lebih dari satu kerja untuk sara keluarga, lagi-lagi kalau anak dan tanggungannya ramai,” ujar @Ainissa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI