GENEVA – Penghantaran pertama bantuan asas ke Semenanjung Gaza melalui Lintasan Sempadan Rafah di Mesir akan berlaku dalam masa ‘sehari dua’ lagi,’ kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
“Kami berada dalam rundingan terperinci bersama semua pihak berkaitan untuk memastikan operasi bantuan di Gaza dapat bermula secepat mungkin dengan penghantaran pertama dijadualkan bermula hari berikutnya (esok) atau sehari dua lagi,” kata ketua hal ehwal kemanusiaan PBB, seperti dipetik jurucakapnya, Jens Laerke di Geneva.
Bantuan antarabangsa yang amat diperlukan bertimbun di Mesir, dekat Gaza dengan penduduk Gaza sangat memerlukan air dan makanan selepas menjadi sasaran pengeboman bertubi-tubi Israel dalam serangan paling berdarah dalam sejarah Palestin.
PBB menyatakan, lebih sejuta daripada 2.4 juta penduduk Gaza tiada tempat tinggal, manakala situasi kemanusiaan menjadi semakin buruk setiap hari.
Israel berjanji akan memusnahkan Hamas selepas kumpulan itu melancarkan serangan besar-besaran dari Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,400 orang, demikian menurut pegawai-pegawai Israel.
Lebih 3,785 penduduk Palestin, kebanyakan mereka orang awam, pula terbunuh dalam siri serangan balas dendam Israel. – AFP