KUALA LUMPUR – Pelakon Zulin Aziz menafikan dirinya kini berbadan dua seperti yang didakwa netizen menerusi beberapa foto percutiannya baru-baru ini.
Pemilik nama penuh Farah Azleenda Abdul Aziz, 33, itu bagaimanapun menegaskan ‘baby bump’ diperkatakan ramai itu hanyalah perutnya yang buncit.
“Baby bump? Sebenarnya perut saya yang buncit dan hanya mengandungi lemak sahaja.
“Saya tak kisah pun, lebih baik orang cakap mengandung daripada kena ‘body shaming’,” katanya kepada Kosmo! Online selepas tayangan gala episod akhir drama Viu From Saga With Love di sini, semalam.
Sering menjadi mangsa spekulasi berkaitan kehamilan, dia bagaimanapun tidak berada tertekan malah menganggap hal tersebut sebagai doa daripada para peminatnya.
“Badan jenis ada mood, kalau makan, memang akan asyik makan banyak. Apabila nak diet, akan diet seketat-ketatnya.
“Sekarang, perut sudah buncit dan berkembang.
“Jangan risau, kalau ada rezeki (hamil) nanti, saya akan kongsikan. Sekarang saya cuma aminkan semua doa kalian,” ujarnya.
Katanya, emosinya akan lebih baik apabila tercetus spekulasi hamil berbanding dilempar dengan kata-kata negatif mengenai bentuk badan.
“Seronok juga apabila kegemukan saya ditutupi dengan spekulasi hamil.
“Orang perempuan sensitif kalau ada yang cakap kita gemuk dan body shaming’,”katanya lagi.
Berkongsi kehidupan rumah tangga yang sebelum ini pernah dilanda badai, Zulin memberitahu dia dan suami sentiasa belajar untuk saling melengkapi antara satu lain.
“Alhamdulillah, doa yang baik-baik. Kami pun baru setahun jagung dalam kehidupan suami isteri dan melalui fasa yang sama seperti pasangan lain.
“Terima kasih atas keprihatinan dan doa-doa semua buat kami,” tuturnya.
Sebelum ini, netizen membuat andaian bahawa Zulin sedang hamil anak pertama apabila mendakwa melihat penampakan ‘baby bump’ pada aktres itu dalam beberapa keping foto percutian sekitar September lalu.
Terdahulu, Zulin mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan, Farhan Norzaini pada 20 Februari 2022.
Pada April lalu, Zulin mengejutkan ramai apabila mendedahkan kemungkinan tidak dapat mempertahankan rumah tangganya.
Namun, kurang tiga hari, Zulin membuatkan ramai menarik nafas lega apabila masalah rumah tangganya dapat diselesaikan dan semuanya kembali pulih seperti biasa. – KOSMO! ONLINE