PETALING JAYA – Laungan lagu patriotik oleh barisan atlet para Skuad Bola Sepak Cacat Penglihatan Kebangsaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), membangkitkan keterujaan orang ramai.
Menerusi perkongsian video Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Facebook, hari ini, beliau turut terharu dengan semangat yang ditonjolkan skuad berkenaan, sebelum berlepas ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022, China.
“Adegan di KLIA ini membuatkan hati saya terharu. Atlet para secara spontan menyanyikan lagu patriotik ketika mereka memimpin satu sama lain berlepas dari KLIA ke Sukan Para Asia Hangzhou,” tulisnya pada kapsyen.
Hantarannya itu dihujani kata-kata semangat oleh rakyat berbilang bangsa yang juga teruja.
“Semoga berjaya pasukan Malaysia,” ucap Kah Ngiu Lau.
“Atlet para kita tahu tugas yang menanti mereka dan terus terang, mereka telah menunjukkan semangat pada setiap temasya antarabangsa yang disertai,” komen Mohd Halim.
“Semoga pasukan Malaysia beraksi dengan baik,” kata Supramaniam Muthusamy. – KOSMO! ONLINE