ALOR SETAR – Sepasang suami isteri dari Kampung Gelam, Datuk Kumbar di sini, terpaksa melupakan waktu rehat mereka apabila perlu melakukan dua kerja setiap hari bagi menampung perbelanjaan tiga anaknya termasuk dua anak orang kelainan upaya (OKU).
Norsidawaty Manaf, 37, berkata, dia dan suami, Ahmad Hafiz Idris, 38, akan berkerja keras mencari rezeki untuk membesarkan tiga anak mereka iaitu Muhammad Aiman Darwisy Ahmad Hafiz, 13, Muhammad Iman Thaqif, 9, dan Muhammad Ammar Habib, 8.
Katanya, Aiman merupakan OKU kategori masalah pembelajaran, manakala Ammar pula disahkan cerebral palsy sejak lahir.
“Aiman membesar seperti biasa, namun pembelajarannya agak lambat,” katanya ketika ditemui di Kampung Gelam di Datuk Kumbar di sini baru-baru ini.
Katanya, Ammar bagaimanapun memerlukan penjagaan rapi daripada mereka kerana anak bongsu itu tidak boleh berjalan dengan sempurna.
“Saya bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai menjual ayam dan suami buat kerja kampung serta jadi penghantar barang. Waktu malam kami akan berniaga barang mainan,” ujarnya.
Ujar Norsidawaty, mereka terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga terutama ketika anak-anak semakin membesar.
“Sebelum ini saya hanya menjadi suri rumah kerana perlu menjaga Ammar dan suami pula kerja di sebuah kedai cendera mata.
“Apabila Ammar ke sekolah pendidikan khas integrasi, suami terpaksa menguruskannya termasuk memberi makan minum. Sebab itu suami banyak buat kerja-kerja kampung termasuk menjadi penghantar barangan,” katanya.
Katanya lagi, mereka berniaga barang mainan di pusat bandar pada sebelah malam untuk menambah pendapatan.
“Kadang-kadang dapat RM40 atau RM50 semalam selepas tolak sewa,” katanya.
Tambah Norsidawaty, keluarganya tetap bersyukur apabila Muhammad Ammar Habib dapat bantuan lampin pakai buang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan sebanyak RM500.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Ahmad Hafiz, 0210 8411 0001 0879.