fbpx

Shuhada bukan tak ‘move on’, mohon maaf guna gambar Hafidz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Enggan memanjangkan isu, bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada tampil menjelaskan penggunaan gambar pelakon sehingga dituduh tidak boleh melupakan kisah lama.

Wakilnya, pengurusan produk minuman pelangsingan mengakui bertanggungjawab atas segala isu yang menimbulkan salah faham terhadap imej wanita itu

“Saya wakil dari pihak ibu pejabat syarikat ingin menjelaskan berkenaan isu dikatakan sengaja menggunakan gambar lama bersama bekas suami.

“Kami bertanggungjawab menjelaskan salah faham ini kerana hantaran yang dimuat naik Shu adalah 100 peratus bahan yang disediakan syarikat kami.

“Tuduhan terhadap Shuhada tidak ‘move on’ (teruskan hidup) sama sekali tidak benar,” kata wakil jenama tersebut dalam satu kenyataan.

Selain memohon maaf atas salah faham yang berlaku, pihak pengurusan turut memberi alasan penggunaan gambar dimaksudkan sebagai perbandingan fizikal Shuhada dahulu dan kini.

“Saya ingin memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung dengan hantaran tersebut.

“Tujuan asal kami menggunakan gambar itu bagi membuat perbandingan fizikal Shu sebelum dan selepas berjaya menurunkan berat badan.

“Sejujurnya tujuan foto itu digunakan kerana satu ketika dahulu, dia pernah menjadi mangsa ‘body shaming’ kerana saiz badannya yang agak besar,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan memaklumkan sudah menghubungi serta menjelaskan salah faham yang berlaku bersama aktor itu.

“Kami tidak menyangka isu ini menyinggung sensitiviti sesetengah pihak apabila menggunakan foto bersama bekas suami yang telah ditutup pada bahagian muka.

“Pihak HQ telah berhubung dengan Hafidz melalui Whatsapp dan menjelaskan apa yang terjadi semalam. Alhamdulillah semuanya diselesaikan dengan baik,” tutupnya.

Sebelum ini, pemilik nama lengkap Muhammad Hafidz Roshdi, 29, memberi amaran supaya memadam gambarnya yang dijadikan bahan promosi produk wanita dalam media sosial.

Foto Shuhada yang menunjukkan perbandingan badannya turut menerima kecaman hebat apabila dikatakan masih belum ‘move on’ dengan kegagalan perkahwinannya.

Hafidz dan Nurul Shuhada bercerai talak satu pada 22 Februari lalu. Pengesahan lafaz cerai itu disahkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Julai selepas tujuh tahun bergelar suami isteri.

Menerusi perkahwinan yang dibina sejak 30 April 2016, pasangan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI