KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan badan kehakiman malah akan mempertahankannya dengan apa cara sekalipun.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dakwaan yang berlegar di media sosial mengaitkan pentadbirannya terlibat dalam urusan badan kehakiman adalah tidak benar.
“Sejak kebelakangan ini, kita mendengar rungutan yang membingungkan bahawa cabang eksekutif sedang melakukan penipuan dan mengganggu proses badan kehakiman.
“Namun, dakwaan ini tidak benar dan saya sebagai Perdana Menteri, bukan sahaja tidak campur tangan walau sejengkal, tetapi saya akan mempertahankan kebebasan badan kehakiman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang ASEAN ke-14 dan Persidangan Undang-Undang ASEAN 2023 di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, antara aspek paling penting bagi sebuah badan kehakiman yang bebas adalah tidak berat sebelah dan berwibawa.
“Ada masa dalam sejarah negara kita di mana kambing hitam tertentu dalam badan kehakiman, bekerja dengan kuasa tertentu, melakukan pelanggaran berat terhadap institusinya yang membawa keburukan.
“Justeru, kerajaan juga mesti telus dan itu penting daripada prinsip kerajaan terbuka. Segala urusan dan keputusan meragukan tidak boleh digunakan bagi menggaburi mata rakyat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE