fbpx

Pembantu kantin, remaja maut motosikal gagal potong Bezza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrul Effendi (kiri) dan Taufiq Ikhwan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

ALOR GAJAH – Seorang pembantu kantin sekolah dan remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas terlibat dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sungai Ragok, Air Paabas di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 petang itu, mangsa Shahrul Effendi Sabtu, 23, dan Taufiq Ikhwan Akmal Abdullah, 15, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas Taufiq yang menunggang motosikal jenis Honda Dash 125 cuba memotong sebuah Perodua Bezza dari arah bandar Alor Gajah menuju ke Air Paabas.

Katanya, seorang saksi bebas yang tampil memaklumkan, motosikal remaja itu bagaimanapun telah hilang kawalan dan bertembung dengan motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z ditunggangi Shahrul yang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, Taufiq telah tercampak ke kiri jalan lalu dilanggar kereta Bezza terbabit yang dipandu seorang suri rumah berusia 23 tahun.

“Kedua-dua penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ujarnya, siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati kemalangan berlaku di laluan satu lorong dan dua hala serta berselekoh.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak kami meminta saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil di mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan kes ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI