JAKARTA – Pelumba Jepun, Takaaki Nakagami dilihat bersedia untuk memikul lebih banyak tanggungjawab selepas Marc Marquez membuat keputusan meninggalkan pasukan Repsol Honda dengan menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing pada penghujung tahun ini.
Sebelum ini, ramai mendakwa Honda terlalu mendengar pendapat Marquez hingga menyebabkan jentera tersebut tidak mesra kepada pelumba lain dan hanya mampu ditunggangi Marquez seorang.
Justeru, Nakagami yang kini bersaing bersama LCR Honda berharap pasukan Jepun itu lebih terbuka dan turut mendengar pendapat dari pasukan satelit selepas ini terutama dalam arah tuju pembangunan pembinaan jentera mereka.
“Berita tentang perubahan pasukannya jelas memberi impak yang besar kepada kami. Ia agak mengejutkan. Tetapi, masih terdapat beberapa perlumbaan tahun ini dan kami kini perlu memastikan bahawa kami menamatkan musim 2023 dengan sebaik mungkin.
“Kemudian kami akan menumpukan pada perlumbaan 2024. Saya bukan dalam pasukan kilang, tetapi saya mengenali Honda sejak musim 2018 dan mengetahui segala-galanya yang telah berubah.
“Sudah tentu saya ingin membantu pembangunan dan berharap Honda tidak hanya mendengar kata-kata penunggang kilang dalam hal hala tuju pembangunan.
“Adalah sangat bagus untuk memikul lebih banyak tanggungjawab terutama kepada hala tuju pembangunan jentera pada tahun depan dan seterusnya.” katanya
Biarpun ramai beranggapan Nakagami berpeluang untuk naik pangkat menggantikan tempat Marquez, namun pelumba berusia 31 tahun itu mengakui peluang tersebut mungkin tiada.
“Peluang untuk ke Repsol Honda mungkin sifar peratus, kerana saya sangat gembira dengan pasukan saya dan penaja utama Idemitsu dan gembira dapat kekal di sini,” jelas Nakagami. – AGENSI