PETALING JAYA – Seorang lelaki Hindu berkongsi kenangannya apabila menerima nota penghargaan daripada seorang imam dari Palestin yang ditemuinya ketika di bangku sekolah menengah dahulu.
Lelaki tersebut yang juga pencipta kandungan media sosial dikenali sebagai Vignism memuat naik nota tersebut ditulis dalam bahasa Arab oleh imam Palestin itu sewaktu program di asrama sekolah menengahnya.
“Solidariti untuk warga Palestin. Gambar di bawah saya bersama seorang imam dari Palestin dan di sebelahnya adalah nota beliau untuk saya. Saya masih simpan walaupun tak faham apa yang ditulis. Ada rakan-rakan yang pernah terjemahkan utusan beliau.
“Gambar ini diambil sewaktu saya di tingkatan lima, waktu ini beliau hadir ke asrama saya untuk majlis berbuka puasa. Saya mengikut kisah perjuangan mereka sejak bangku sekolah lagi dan mengikuti banyak perkembangan di sana melalui pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Cuma saya tak dedahkan sangat perkara ini secara umum, kata orang biarlah saya berjuang dengan cara saya tersendiri. Semoga doa kita semua mampu mengiringi perjuangan mereka di sana,” katanya pada hantaran di Facebook baru-baru ini.
Dalam pada itu, Vignism menyifatkan ia kelebihan kepadanya apabila tinggal di asrama sekolah harian selama tujuh tahun yang rata-ratanya pelajar Melayu dan dia merupakan satu-satunya pelajar bukan Melayu.
“Sedih melihat pergolakan yang sedang berlaku di sana, semoga segalanya berakhir dengan cepat. Ayuh sama-sama kita doakan semua yang syahid ditempatkan di sisi-Nya. Solidariti saya tetap untuk Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Affendi Ahmad Fauzee memuat naik terjemahan nota daripada imam Palestin tersebut dan Vignism kemudian memuat naik video membaca terjemahan tersebut di dalam bahasa Melayu di TikTok hari ini.
“Anda adalah contoh seorang lelaki yang bijaksana, terhormat yang berdiri dengan pujian walau apa pun. Saya memohon kepada Tuhan Yang Maha Kuasa untuk semua itu dan saya berharap dapat bertemu dengan anda di Palestin,” katanya. – KOSMO! ONLINE