PARIS – Polis Perancis mendenda sekumpulan wartawan yang membuat liputan semasa demonstrasi pro-Palestin di Paris petang semalam, lapor agensi berita Anadolu.
Kejadian itu berlaku di Dataran Republik, di mana berpuluh-puluh penunjuk perasaan berkumpul sebagai solidariti terhadap Palestin, sehari selepas serangan udara Israel membunuh lebih 470 orang di hospital Gaza.
Seorang wartawan yang didenda €135 (RM677) berkata, dia tetap dikenakan denda walaupun menunjukkan kad perakuan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan Perancis.
“Saya menunjukkan kad media saya tetapi pegawai itu memberitahu bahawa dia tidak peduli. Dia menuduh saya menyertai demonstrasi yang dilarang,” kata wartawan itu yang memilih untuk tidak mendedahkan identitinya.
Tambahnya, walaupun menjelaskan bahawa dia berada di situ untuk membuat liputan dan tidak menyertainya (protes), pegawai tetap mengambil maklumat kad pengenalannya.
“Dia berkata bahawa saya perlu membayar denda sebanyak €135. Dia juga meminta saya agar tidak menyertai demonstrasi,” katanya.
Berdasarkan arahan Kementerian Dalam Negeri, demonstrasi menyokong Palestin telah diharamkan di Perancis sejak 12 Oktober lalu.
Semalam, Majlis Negara menyatakan bahawa terpulang kepada wakil kerajaan tempatan untuk menilai sama ada sesebuah perhimpunan itu mengganggu ketenteraman awam atau sebaliknya.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin sekali lagi mengeluarkan arahan yang melarang semua perhimpunan pro-Palestin di negara itu. – Agensi