fbpx

Konflik Palestin-Israel: Penduduk pilu kumpul cebisan mayat kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
.ORANG ramai mengumpul jasad mangsa-mangsa yang terkorban di Hospital Al Ahli di Gaza kelmarin. - AFP

BANDAR GAZA – Seorang doktor di Hospital Al Ahli, Gaza menggambarkan suasana mengerikan yang disaksikannya sendiri selepas pusat perubatan itu dibom pada malam kelmarin sehingga menyebabkan lebih 470 penduduk Palestin terkorban, lapor laman berita Middle East Eye.

“Kekejaman dan kecederaan yang kami lihat adalah sesuatu yang tidak pernah disaksikan dalam mana-mana serangan ke atas Gaza sebelum ini.

“Ia sangat nyata, namun bagaikan satu mimpi. Kami masih tidak percaya bahawa apa yang berlaku adalah realiti. Ia adalah hospital yang dilindungi oleh undang-undang kemanusiaan antarabangsa. 

“Mana-mana orang yang pergi ke sana seperti kakitangan perubatan sepatutnya dilindungi,” kata doktor tersebut, Mohammed Gniem selepas serangan udara tersebut dilakukan oleh tentera Israel.

Beribu-ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal sebelum insiden pengeboman itu berlindung di pekarangan Hospital Al-Ahli dengan mengandaikan bahawa mereka berada di tempat yang selamat.

Menurut Mohammed Gniem yang keletihan selepas merawat pesakit tanpa henti itu, keadaan mangsa-mangsa yang terkorban benar-benar mengerikan.

“Ada mayat kanak-kanak yang berkecai menjadi serpihan kecil selain isi perut terburai,” ujarnya. 

Seorang lelaki yang membantu usaha mengumpul mayat, beberapa jam selepas serangan udara itu pula berkata, di samping deretan kenderaan yang hangus terbakar, sukarelawan menemui jasad dan cebisan badan yang kemudian disimpan di dalam beg mayat.

“Beberapa jasad lain pula ditutup dengan selimut atau kain putih. Ini adalah pembunuhan beramai-ramai. Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini dalam hidup saya,” kata Ahmed Tafesh sambil menambah, dia mengumpulkan mata, lengan, kaki dan kepala mangsa.

Sementara itu, seorang wartawan dari Semenanjung Gaza, Amr Abu Nada berkata, banyak jasad kanak-kanak yang terbunuh hancur berkecai, menyebabkan dia pitam semasa merakam gambar. 

“Ia amat menyayat hati terutamanya bagi ibu bapa yang mencari anak mereka di tengah-tengah mangsa yang terkorban,” jelasnya.

Dengan keadaan hospital yang semakin teruk, kakitangan perubatan terpaksa merawat mangsa cedera di mana-mana sahaja ruang yang ada, termasuk di atas lantai serta menggunakan apa-apa sahaja bekalan yang tinggal. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI