PUTRAJAYA – Malaysia akan terus memfokuskan serta komited memastikan bantuan kemanusiaan dapat segera dihulurkan bagi membantu rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melakukan sebaik mungkin biarpun dengan keupayaan terhad bagi menyalurkan bantuan tersebut.
Katanya, kerajaan tetap berpendirian menjalinkan kerjasama dan menyokong usaha bagi membantu rakyat Palestin menghadapi kesukaran meibatkan kekurangan makanan serta perubatan.
“Buat masa ini, saya rasa fokus Malaysia adalah menyalurkan bantuan kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada majlis agihan sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di sini, hari ini.
Jelasnya, Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan negara-negara Arab bagi melancarkan penyaluran bantuan berkenaan.
Anwar berkata, beliau akan berlepas ke Riyadh, Arab Saudi hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC).
Tambahnya, dia juga bakal mengadakan pertemuan bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung serangan di Gaza itu.
Anwar berkata, kesempatan itu akan dimanfaatkan olehnya untuk bertemu pemimpin negara Islam lain termasuk kerajaan Mesir dalam membincang langkah bagaimana penyaluran bantuan itu boleh dilaksanakan.
“Maklumat terkini yang saya dapat dari Mesir, Turki dan Arab Saudi bahawa ada kesukaran untuk salurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin.
“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) juga gagal memutuskan (tindakan menyekat peperangan itu) malah, badan pengaman dunia itu tiada kesediaan untuk meredakan sengsara dihadapi rakyat Palestin.
“Buat masa ini, kalau boleh diketepikan dahulu salah siapa sebaliknya beri tumpuan kepada mangsa yang kebuluran, yang sakit dan mereka yang tidak dapat kemudahan perubatan,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia sejujurnya tidak lagi membenarkan kekejaman terhadap Palestin malah, tidak akan sesekali membiarkan tanah Gaza terus di jajah dan diambil alih. – KOSMO! ONLINE