BANDAR GAZA – Penduduk Palestin yang selamat memasuki hospital yang dibom di Gaza untuk mengumpul mayat, beberapa jam selepas serangan udara Israel membunuh ratusan orang awam yang berlindung di kemudahan itu, lapor portal berita TRT World semalam.
Di samping deretan kenderaan yang hangus terbakar, sukarelawan menemui jasad dan cebisan badan yang sudah disimpan di dalam beg mayat.
Beberapa jasad lain pula hanya ditutup dengan kain kafan dan selimut putih.
“Ini adalah pembunuhan beramai-ramai. Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini dalam hidup saya,” kata Ahmed Tafesh yang membantu usaha mengutip mayat sambil menambah, dia telah mengumpulkan mata, lengan, kaki dan kepala mangsa.
Pihak berkuasa kesihatan di Gaza berkata, serangan udara Rejim Zionis telah membunuh sekurang-kurangnya 500 orang di Hospital Al Ahli Arab.
Di hospital Shifa yang terletak berdekatan, saudara-mara berkumpul untuk mengenal pasti jasad di rumah mayat dan membawa mayat lain untuk dikebumikan.
Antara yang mencari petunjuk tentang nasib saudaranya ialah Yahya Karim, 70.
“Saya tidak tahu berapa ramai daripada mereka (saudara) yang meninggal dunia atau masih hidup. Terdapat mayat di merata tempat,” kata Yahya sambil mengakui bahawa dia telah merancang untuk berlindung di hospital itu sebelum ia dibom. – Agensi