KUANTAN – Keahlian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) amat signifikan dalam keadaan trend penyakit kritikal yang semakin meningkat pada masa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, keahlian dalam skim yang ditawarkan YGMB itu dapat memberikan perlindungan tambahan kepada guru-guru.
Katanya, YGMB yang mengutamakan kebajikan guru masih menerima keahlian daripada guru-guru yang sudah mempunyai penyakit kritikal atau tidak layak menyertai insurans lain.
“Kita faham ramai guru-guru yang dalam lingkungan umur 50 tahun ke atas atau 45 tahun ke atas mungkin pada waktu muda terlepas pandang untuk mendapatkan apa-apa polisi insurans atau pun takaful.
“Dalam keadaan usia yang berumur di samping kalau ada penyakit memang mereka menghadapi kesukaran mendapatkan mana-mana polisi perlindungan lebih-lebih lagi kalau sudah ada penyakit,”katanya pada Kolokium Amalan Terbaik Pengetua dan Guru Besar peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Menurutnya YGMB yang berfungsi memelihara kebajikan guru memhami keperluan para pendidik dengan menawarkan perlindungan kepada guru-guru melalui keahlian dalam YGMB.
Katanya, dengan menyertai skim itu, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban para guru apabila diuji dengan penyakit kritikal, kemalangan, bencana dan sebagainya.
“Apabila saya sendiri turun berjumpa dengan guru yang menghadapi penyakit kritikal ini ia banyak mengubah sistem kehidupan mereka, bagaimana dia hendak bekerja menguruskan walaupun mungkin mendapatkan rawatan di hospital kerajaan tetapi ada kos lain.
“Mana kita hendak cari dengan bayaran minimum RM28, RM35 tetapi manfaat diterima besar, saya kira banyak meringankan beban,”katanya.
Sementara itu katanya, setiap tahun kira-kira RM1.5 juta manfaat disalurkan kepada ahli melibatkan keseluruhan 30 gabungan perlindungan daripada empat manfaat serendah RM200 sehingga RM100,000.
Ujar beliau pihaknya akan terus berusaha menyediakan manfaat lebih baik dari semasa ke semasa demi kebajikan semua ahli.-KOSMO! ONLINE