PETALING JAYA – Lantang mengutuk kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, pelakon Sharnaaz Ahmad menyelar sikap pengecut segelintir golongan popular yang tidak menggunakan pengaruh mereka membantu menyebarkan kebenaran.
Katanya, masih ramai selebriti dan pensohor media sosial enggan menunjukkan sokongan terhadap saudara seagama di Gaza disebabkan takut kehilangan tawaran jenama antarabangsa.
“Berapa ramai idola anda semua yang pengecut takut hilang ‘followers’ atau ‘jobs’ sebab sokong Palestin?
“Itu bukan idola, elok mampus saja jadi ulat sampah,” luahnya menerusi beberapa siri hantaran dalam InstaStory.
Dalam hantaran lain, pelakon The Original Gangster itu sedar dirinya bukan Muslim yang baik namun dia akan sentiasa menyokong Palestin.
“Aku bukan Muslim yang baik, bukan yang alim dan celik agama. Tapi aku tetap akan bersama Palestin,” katanya.
Duda anak satu itu turut menyelar bangsa Yahudi yang disifatkan penakut tetapi terus hidup kerana bersifat bijak ambil peluang.
“Bangsa paling penakut adalah bangsa Yahudi. Sanggup tak nak sebarkan agama mereka sebab takut kena bunuh.
“Mereka hanya berjaya dan kaya sebab menggunakan kelebihan akal yang Allah bagi lebih kepada kaum ini,” ulas aktor berusia 38 tahun itu.
Serangan tentera Israel terhadap Semenanjung Gaza yang mengakibatkan lebih 2,000 rakyat Palestin terkorban dalam tempoh tidak sampai dua minggu dikutuk masyarakat dunia.
Kemarahan ramai lebih berganda dengan tindakan Israel kelmarin yang melakukan pengeboman Hospital Ahli Arab yang mengorbankan sekurang-kuranya 500 orang. – KOSMO! ONLINE