DURIAN runtuh bakal diterima pemain tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan sebagai juara dunia menerusi insentif Skim Hadiah Kemenangan (Shakam) meningkatkan lagi motivasinya ketika ini.
Natasha, 27, dijangka menerima ganjaran sebanyak RM80,000 sebagai pemenang pingat emas individu wanita Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.
“Gelaran juara dunia ini adalah pencapaian terbaik pernah saya capai dalam hidup. Sebelum ini saya pernah menang juara dunia tetapi dalam acara berpasukan, tak pernah lagi untuk individu.
“Memang itu hasrat saya untuk menjadi juara dunia semenjak saya berumur 14 tahun lagi. Jujurnya, gelaran ini adalah pencapaian yang amat berharga untuk saya.
“Insentif Shakam akan tingkatkan lagi motivasi saya untuk mempertahankan gelaran sebagai juara dunia pada masa depan,” katanya selepas tiba bersama skuad boling negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat malam kelmarin.
Natasha dinobatkan sebagai juara dunia selepas menewaskan rakan senegara, Sin Li Jane di perlawanan akhir individu wanita, sekali gus menamatkan kemarau 12 tahun negara sejak Jacqueline Sijore memenangi edisi 2011 di Hong Kong.
Walaupun direhatkan kerana kecederaan jari tetapi dia turut memenangi pingat perak berpasukan wanita kejohanan itu bersama Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Gillian Lim, Esther Cheah dan Nora Lyana Nastasia Norkamal.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok menganggap ini adalah pencapaian terbaik Malaysia di pentas dunia apabila membawa pulang keseluruhan lima pingat iaitu satu emas, dua perak dan dua gangsa.
“Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita beraksi dengan baik dan mengikut strategi ditetapkan. Kejohanan kali ini amat sengit dan keputusannya mungkin tidak akan berpihak kepada kita jika berlaku sebarang kesilapan.
“Mereka akan beraksi di Kejohanan Kebangsaan minggu hadapan dan kemudian akan membuat persiapan menghadapi Kejohanan Dalam Dewan dan Seni Bela Diri Asia pada Februari tahun hadapan,” jelasnya.