fbpx

Guru sambilan tuisyen direman komplot sedia penyata bank palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret Shah Alam.

SHAH ALAM – Seorang guru sambilan yang disyaki berkomplot dalam penyediaan penyata akaun bank palsu bagi kerja landskap bangunan kerajaan direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 40an dikeluarkan Majistret Sasha Diana Sabtu selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek terdahulu ditahan kira-kira pukul 7.10 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM.

Katanya, suspek dikatakan bekerja sebagai guru sambilan pusat tuisyen yang mengajar subjek bagi sekolah menengah.

“Siasatan awal mendapati suspek dan pengarah syarikat yang direman sebelum ini merupakan rakan.

“Guru sambilan itu telah bersubahat menyediakan dokumen penyata bank yang mengandungi butir matan palsu bagi memenuhi syarat penilaian kewangan ketika menyertai perolehan secara sebut harga pada 2019 bagi kerja landskap bernilai RM170,000,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pengarah syarikat direman empat hari bagi membantu siasatan mengemukakan penyata bank mengandungi butir matan palsu, empat tahun lalu.

Projek pembersihan dan penyelenggaraan landskap adalah bagi tempoh dua tahun bermula 2019. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI