SHAH ALAM – Graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) laris di pasaran kerja berdasarkan peningkatan kadar kebolehpasaran graduan universiti terbesar tersebut sebanyak 89.4 peratus.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Mohd.Sazili Shahibi, kadar tersebut meningkat sebanyak 6.3 peratus berbanding tahun 2021 iaitu 83.1 peratus.
“Peningkatan tersebut adalah hasil usaha semua pihak yang bertungkus-lumus demi memastikan pencapaian 90 peratus kebolehpasaran graduan UiTM seperti yang disasarkan menjelang 2025.
“Pihak UiTM sentiasa konsisten dan komited dalam melonjakkan lagi kebolehpasaran graduan di peringkat UiTM,” katanya ketika Career and Industrial Relation Expo (CaIREx) 2023, di sini.
Mengulas lanjut, Sazili berkata, CaIREx adalah platform untuk mendedahkan kepada pelajar tentang trend pekerjaan terkini.
“Ia juga memberi peluang kepada bakal graduan menghadiri temuduga terbuka selain meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya perancangan kerjaya di peringkat awal melalui aktiviti pembangunan profil kerjaya,”ujarnya. -KOSMO!ONLINE