PETALING JAYA – EP Manufacturing Berhad (EPMB) melalui anak syarikatnya, PEPS-JV (Melaka) Sdn. Bhd. telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Great Wall Motor Sales Malaysia Sdn. Bhd. (GWM Malaysia), anak syarikat Great Wall Motor Co., Ltd. (GWM), untuk pemasangan dan pembuatan tempatan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, melalui kerjasama tersebut, pihaknya dan GWM Malaysia akan bekerjasama untuk memuktamadkan perjanjian dalam tempoh tiga bulan akan datang dengan tujuan memberi peranan penting kepada EPMB untuk memasang model-model GWM yang terpilih secara tempatan.
Model-model yang dipasang, dijangka melibatkan model terkemuka seperti GWM SUV, trak pikap dan kenderaan elektrik (EV) yang canggih.
“Kerjasama ini merupakan langkah strategik ke arah memajukan pemasangan kenderaan tempatan, sejajar dengan visi kerajaan Malaysia untuk meningkatkan keupayaan automotif dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan industri di Malaysia.
“Jika kedua-dua pihak mencapai persetujuan tersebut, EPMB menjangkakan untuk memulakan kerjasama ini bermula 2024,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Tambah beliau, pengeluaran kenderaan GWM EPMB dijangka meningkat secara berperingkat setiap tahun dan disasarkan mencecah 20,000 unit menjelang 2028.
Kami berbesar hati terhadap usaha untuk memulakan pakatan strategik dengan GWM, jenama pikap yang kukuh di China.
“Kami akan gigih berusaha untuk memupuk kerjasama yang saling menguntungkan agar ia dapat menyumbang kepada pertumbuhan masa depan kedua-dua jenama,” jelas beliau.
Menurut beliau, kerjasama ini dijangka memainkan peranan penting dalam rancangan GWM Malaysia di rantau ASEAN untuk terus mewujudkan kehadiran pasarannya dengan rangkaian infrastruktur jualan, servis selepas jualan serta penyelenggaraan yang komprehensif. -KOSMO!ONLINE