KAPTEN skuad Harimau Malaya, Dion Cools optimis barisan pemain bakal menampilkan belang sebenar apabila mengharungi kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan bermula pada bulan depan.
Pertahanan kelab Buriram United itu mahu pasukan melupakan kekalahan 0-2 kepada Tajikistan pada aksi final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.
Kata Cools, semua pihak perlu belajar daripada kesilapan tetapi pada masa sama tidak mahu keputusan negatif itu jejaskan emosi hingga terbawa-bawa ke bilik persalinan.
“Saya lebih suka untuk anggap kita kalah bersama, kita menang juga bersama. Namun, harus diakui sebilangan pemain berfikiran negatif dan kita tidak boleh biarkan perkara itu.
“Pasukan patut ambil pendekatan positif kerana kita berjaya mendominasi perlawanan sekalipun berdepan pasukan di ranking lebih tinggi.
“Saya harap pemain tidak boleh terus kecewa sebaliknya mengambil iktibar dengan memperbaiki kelemahan.
“Apa yang penting adalah kelayakan Piala Dunia bulan depan, kita perlu bersiap sedia,” katanya ketika ditemui tamat perlawanan.
Pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan Taiwan.
Malaysia berdepan Kyrgyzstan pada 16 November di laman sendiri sebelum berlepas ke Taiwan.
Selepas itu, fokus akan diberikan pada saingan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari depan dengan Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan dalam Kumpulan E.