fbpx

Dewan Rakyat: Radzi persoal gaji progresif tiada dalam Belanjawan 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Md Jidin mempersoalkan pelaksanaan gaji progresif yang tidak diumumkan dalam Belanjawan 2024, walaupun pendekatan tersebut kerap kali diuar-uarkan.

Beliau berkata, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini seolah-olah begitu yakin gaji progresif akan dimasukkan dalam belanjawan dan dilaksanakan pada tahun depan.

Bagaimanapun katanya, perkara itu berlaku sebaliknya dan menegaskan Belanjawan 2024 sepatutnya memberi gambaran yang jelas tentang hala dan dasar yang ingin dibawa oleh kerajaan.

“Sebarang kecelaruan dasar akan menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan rakyat, pemain industri, penganalisis pasaran, serta peserta pasaran modal.

“Apakah sebenarnya yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan berkaitan dasar gaji progresif? Adakah benar ia akan melibatkan subsidi, dan jika benar berapa jumlahnya?,” soalnya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN- Masjid Tanah) ketika bangkit mencelah perbahasan itu berkata, beliau juga hairan mengapa Rafizi, boleh memiliki ‘keyakinan’ bahawa gaji progresif akan dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

“Kita banyak kali membaca kenyataan yang dibuat oleh Menteri Ekonomi berkenaan gaji progresif. Beliau begitu yakin dan saya pun tidak tahu bagaimana beliau boleh mendapat keyakinan begitu, gaji progresif ini dimasukkan. Tetapi tiba-tiba tak ada.

“Bagaimana nak berhadapan dengan rakyat kerana terlalu banyak pertanyaan di luar?,” soalnya.

Radzi kemudian mengingatkan kerajaan agar mengadakan berbincangan dengan lebih terperinci mengenai cadangan gaji progresif sebelum membuat kenyataan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI