JOHOR BAHRU – Sajian Beriani Johor dan tarian Zapin akan dicalonkan sebagai warisan dunia dibawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ) Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, pihaknya yakin sajian Beriani Johor dan tarian Zapin mampu untuk memenuhi kriteria yang akan ditetapkan oleh UNESCO.
Menurut beliau, usaha itu bagaimanapun perlu melalui pelbagai proses dan peringkat sebelum dapat dilaksanakan.
“Syarat dan kriteria UNESCO untuk mewartakan kategori Warisan Tidak Ketara sangat ketat. Selain perlu melalui pelbagai proses dan peringkat termasuk membuat pembentangan, kita juga perlu mendapat bantuan pakar dan sebagainya.
“Proses ke arah mewartakannya juga akan ambil masa beberapa tahun, mungkin empat hingga lima tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Beriani Johor sebagai Makanan Warisan Johor dan Seminar Sajian Warisan 2023 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, YWJ di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE